Saturday 4 August 2012

Luruskan Lidah


“Tidak lurus iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya.” (HR Ahmad)

Dengan meneliti makna di sebalik hadis di atas, tahulah kita bahawa keteguhan iman itu juga bergantung kepada lidah. Iman kita tidak akan istiqamah selagi lidah tidak dijaga dengan baik. Lidah merupakan nikmat yang telah dikurniakan Allah untuk memuji kebesaranNya, membaca KalamNya, menyampaikan dakwah, berkata baik  dan saling menasihati. Wahai sahabat, adakah kita memanfaatkan kurniaan Ilahi ini dengan sebaiknya?

Ramai dalam kalangan kita yang tidak mampu untuk meluruskan lidah, bahkan diri kita sendiri pun 2 x 5. Penyalahgunaan lidah termasuklah berbohong, mencarut, atau berbentuk cacian dan umpatan, perkara yang sia-sia dan lain lain. Hal ini seringkali dilihat apabila berkumpulnya kita dan rakan-rakan dalam satu majlis, pasti kita akan menyalahgunakan nikmat lidah yang dikurniakan Tuhan. Sedar atau tidak sedar, terlalu banyak dosa yang kita topup adalah berpunca daripada penyalahgunaan lidah sendiri.

"Berkata baiklah ataupun diam"

Lidah memang sangat bahaya dan berdasarkan hadis nabi, ramai orang terjerumus ke neraka kerana lidah. Menurut Imam al-Ghazali, lidah adalah alat yang tajam bahkan lebih tajam dari mata pedang. Hal ini memang benar sebab ramai orang yang berdengki dan bermusuhan adalah disebabkan lidah. Justeru pepatah Melayu jua merakamkan, kerana lidah badan binasa.

Sudah terang lagi bersuluh, apa yang penting saat ini ialah niat..... Niat untuk berubah daripada sifat orang yang berkata keji kepada orang yang memanfaatkan lidah dengan sebaiknya. Wajib untuk dirimu dan diriku berubah kerana mission ini bukanlah dilaksanakan dengan kehendak, tetapi ia adalah satu perintah Tuhan dan tuntutan agama. Mahu tak mahu marilah kita sama-sama berjalan slow-slow ke arah Allah.Ya Allah pimpinlah kami untuk meluruskan lidah ini demi menggapai redaMu. Semoga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang berkata-kata baik. Amiin~.


Beradab Dengan Guru

          Sesiapa yang bergelar pelajar haruslah menghormati guru, bukan melayan guru umpama rakan sekerja atau lebih teruk lagi biadab dengan guru.

Hai~. Kesemua itu dah pernah aku alami. Bagaimana pula dengan saudara/saudari?

          Ingatlah bahawa guru merupakan orang yang menyemai benih-benih ilmu dalam jiwa kita. Kita yang menentukan benih itu subur atau layu. Keberkatan ilmu terletak pada keredaan guru terhadap kita. Jika layanan yang diberikan oleh seorang pelajar kepada gurunya adalah seperti seorang anak soleh menghormati ibu bapanya, maka termaterilah ilmu yang berguna dalam jiwa pelajar itu. Pasti dia mendapat keberkatan hidup dengan ilmu tersebut. Insyaallah.

          Namun, jikalau kita mengambil remeh hal-hal adab dengan guru, yang mampu mengguris perasaan atau menyakitinya, maka ilmu yang dicurahkan hanya berhenti di paras hidung atau sekadar bertapak di tangan dek kerana tiadanya keberkatan ilmu. Apalah gunanya jika hanya 'A' di kertas tetapi hakikatnya ilmu tidak sampai ke hati? Tiada gunanya jika ilmu yang dipelajari tidak dapat diaplikasikan dalam kehidupan kita yang banyak memerlukan pimpinan ini. Sesungguhnya ilmu itu penyuluh kehidupan.

Berbalik kepada topik, jagalah adabmu dengan guru.

1) Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah," Aku adalah hamba kepada mereka yang mengajariku satu huruf, sama ada aku dijual olehnya ataupun aku diperhambakannya". Betapa jauhnya beza antara seorang pelajar dengan guru laksana langit dan bumi.

2) Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan – ikut jantina.

3) Tidak layak bagi penuntut ilmu untuk duduk di tempat gurunya, berjalan di depan gurunya, dan memperbanyakkan bercakap semasa berada bersama gurunya, seperti menyampuk atau potong line, menjaga waktu ziarah dan tidak mengetuk-ngetuk pintu rumahnya tanpa sabar.

4) Jangan menyangkal kata-kata guru dan jangan berbisik di hadapannya.

5) Taat kepada guru kecuali dalam hal maksiat. "Tiada ketaatan dalam maksiat kepada pencipta"

6) Memuliakan anak guru.
7) Bersedia berkhidmat untuk guru, berbuat baik, contohnya sediakan makanan untuk guru, tempat tidur, membersihkan rumah guru dan sebagainya.

8) Tidak menyakiti hati guru. Kerana tidak mendapat keberkatan daripada ilmu sekiranya menyakiti hati mereka dan tidak bermanafaat baginya. So jangan kutuk2 guru kita walaupun dia kita tak suka. Waimma dia bukan Islam sekalipun.

9) Mendoakan guru.

* Kitab Ibnu Kathir & Imam Ghazali

Senarai Makanan Yang Paling Lazat Di Neraka


1. ZAQQUM

Firman Allah swt: Sesungguhnya pohon zaqqum itu, makanan orang yang banyak berdosa. Ia bagaikan kotoran minyak yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang amat panas. (43 – 46 : ad-Dukhan)

Firman Allah swt: (Makanan surga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum.? Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai ujian bagi orang-orang yang zalim (samada mereka percaya atau tidak). Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang tumbuh dari dasar neraka. Buahnya seperti kepala syaitan-syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu sehingga memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu. (62 – 66 : as-Saffat).

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya Nabi saw membaca ayat ini: “bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”

Rasulullah saw bersabda: “Sekiranya setitis zaqum menitis ke dunia nescaya akan merosakkan seluruh kehidupan ahli dunia. Bagaimana keadaan orang yang setiap hari buah zaqum menjadi makanannya?”
(HR Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Imam Ibnu Kathir berkata: “Allah swt menyatakan mereka memakan pokok ini walaupun rupanya sangat buruk dan sangat hodoh. Tambahan lagi dengan rasanya yang tidak sedap dan bau yang busuk. Mereka terpaksa makan kerana tidak ada yang lain.”

2. GISLIN

Firman Allah swt: Maka tiada seorang teman pun baginya pada hari ini di neraka ini. Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa. (35-37 : al-Haqqah).

Ulama berselisih pendapat terhadap hakikat Gislin seperti berikut:

1. Nanah ahli neraka yang keluar dari luka dan kemaluan mereka. (Ibnu Abbas)
2. Pohon yang menjadi makanan ahli neraka. (Dahhak dan Rabie bin Anas)
3. Air dari basuhan daging dan darah ahli neraka. (Akhfasy)


3. DARIE’

Firman Allah swt: Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri. yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar. ( 6 dan 7 : al-Ghasiah)

Para Ulama berselisih pendapat terhadap Darie’. Diantaranya adalah seperti berikut:

1. Tumbuhan yang berduri yang melata di tanah. (Pendapat Ikrimah, Mujahid dan kebanyakan ulama tafsir).
2. Batu (pendapat Said bin Jubair).
3. Tumbuhan hijau yang busuk. Ia dilemparkan laut ke daratan. (pendapat Khalil).
4. Pohon berasal dari api neraka. (Pendapat Ibnu Abbas)

Pendapat yang dipilih adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Qurtubi:

“Pendapat yang lebih jelas adalah ia pokok yang berduri seperti di dunia. Daripada Ibnu Abbas ra, Nabi saw bersabda: “ Darie adalah sesuatu yang ada dalam neraka. Ia meyerupai duri. Lebih pahit daripada pokok lidah buaya. Lebih busuk daripada bangkai. Lebih panas dari api. Allah swt namakannya sebagai Darie.” (Hadis riwayat Ibnu Mardawiyah – sanadnya lemah)

4. MAKANAN YANG SUKAR UNTUK DITELAN

Kerana sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. Dan makanan yang menyebabkan tercekik di kerongkong dan azab yang pedih. (12 – 13 : al-Haqqah)

Ibnu Abbas berkata: “Makanan yang tidak boleh ditelan dan tersangkut di halkum. Tidak boleh turun ke perut dan tidak boleh dikeluarkan. Makanan ini adalah Gislin, Zaqqum dan Darie.”

5. KELAPARAN YANG MENYEKSAKAN

Abu Darda berkata: Rasulullah saw bersabda: “ Dicampakkan rasa lapar kepada ahli neraka. Kelaparan yang mereka rasai menyamai azab yang mereka alami dalam neraka. Lalu mereka menjerit meminta tolong dan mereka pun diberikan Darie yang tidak menghilangkan kelaparan mereka. Lalu mereka menjerit meminta makanan dan mereka pun dibawa makanan yang menyebabkan mereka tercekik. Mereka teringat kalau tercekik didunia mereka hilangkan dengan air. Mereka pun meminta air minuman. Lalu mereka diberi air yang sangat panas dengan besi-besi panjang yang berkepala sabit. Muka mereka hangus terbakar apabila air ini menghampiri mereka. Segala isi perut terputus apabila masuk ke dalam perut mereka.
(HR Tirmizi)

RUJUKAN:
Tafsir Qurtubi, Tafsir Ibnu Kathir, Tuhfatul Ahwazi, Sunan Tirmizi tahqiq syeikh Syuaib, Muntaqa oleh Dr Yusuf Qardawi, Tazkirah oleh Qurtubi, Buhur Zahirah oleh Imam as-Safirani. -Bloggermuslim 

*copaste

Friday 3 August 2012

Menasihati Diri Sendiri

Nobody is perfect. Tiada siapa yang sempurna. Sebutkanlah kepadaku adakah antara kita yang tidak melakukan kesalahan selain Rasulullah Muhammad saw? Yunus as pernah meninggalkan kaumnya, Musa as pernah membunuh satu jiwa tanpa hak, dan Ibrahim as pernah berbohong sebanyak tiga pembohongan dalam kehidupannya sebagai nabi. Telah bersabda nabi saw bahawa setiap anak cucu cicit Adam tidak akan terlepas daripada dosa. Sama ada kecil ataupun besar, sedikit ataupun banyak, bahkan sama ada sengaja ataupun tidak.

Kita sering menegur dan menasihati kesalahan rakan-rakan namun bagaimana dengan diri kita pula? Tidak terkira dosa yang kita lakukan masa demi masa. Sedangkan orang beriman pun berfikir ia banyak kesalahan, apatah lagi kita yang sangat jauh daripada Tuhan. Wahai jiwa-jiwa yang berdosa, janganlah berputus asa terhadap rahmat Allah. Sesungguhnya rahmat Allah itu saaangaat luas. Allah yang Maha Pengampun pasti memimpinmu untuk keluar dari kegelapan dosa. Fikirkanlah, engkau perlu berubah. Tidak kira cepat atau berperingkat-pertingkat, usahakanlah dirimu untuk menjadi baik. Berhijrahlah ke arah yang lebih baik dan selamat, yang mampu menjamin kebahagiaanmu di masa nanti.


Jangan dikenang sangat kesalahan yang lepas, cukuplah bagimu menjadikannya sebagai pengajaran dan pengalaman. Banyak hikmah yang berlaku di sebalik kesalahanmu itu. Khilaf membuatkan kita mengingati Allah dan menjadi lebih matang menjalani kehidupan dan yang paling utama... khilaf membuatkan kita sedar, menyesal dan berasa ingin bertaubat atas kesalahan yang kita lakukan. Usah peduli pandangan orang lain terhadap kita, semua manusia sama sahaja di mata Allah. Justeru Allah pasti menolong hambaNya yang ingin kembali ke jalan yang lurus, yang mahu memperbaiki dirinya menjadi mukmin yang lebih bagus.

Maka tak usahlah kau menyerah kalah jika rintangan yang menghalangmu itu memerangkap dirimu dari segenap arah. Bangunlah dari kejatuhanmu dan teruskanlah perjalananmu demi mencari keredaan Tuhan. Berhati-hatilah melangkahkan kaki dan suntikkan keazaman yang tinggi sebagai semangatmu untuk meneruskan penghijrahan rohani ini. Sesungguhnya perubahan itu memerlukan pengorbanan. Semoga dirimu dan diriku memperoleh hidayah dan rahmatNya.