Saturday 4 August 2012

Luruskan Lidah


“Tidak lurus iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya.” (HR Ahmad)

Dengan meneliti makna di sebalik hadis di atas, tahulah kita bahawa keteguhan iman itu juga bergantung kepada lidah. Iman kita tidak akan istiqamah selagi lidah tidak dijaga dengan baik. Lidah merupakan nikmat yang telah dikurniakan Allah untuk memuji kebesaranNya, membaca KalamNya, menyampaikan dakwah, berkata baik  dan saling menasihati. Wahai sahabat, adakah kita memanfaatkan kurniaan Ilahi ini dengan sebaiknya?

Ramai dalam kalangan kita yang tidak mampu untuk meluruskan lidah, bahkan diri kita sendiri pun 2 x 5. Penyalahgunaan lidah termasuklah berbohong, mencarut, atau berbentuk cacian dan umpatan, perkara yang sia-sia dan lain lain. Hal ini seringkali dilihat apabila berkumpulnya kita dan rakan-rakan dalam satu majlis, pasti kita akan menyalahgunakan nikmat lidah yang dikurniakan Tuhan. Sedar atau tidak sedar, terlalu banyak dosa yang kita topup adalah berpunca daripada penyalahgunaan lidah sendiri.

"Berkata baiklah ataupun diam"

Lidah memang sangat bahaya dan berdasarkan hadis nabi, ramai orang terjerumus ke neraka kerana lidah. Menurut Imam al-Ghazali, lidah adalah alat yang tajam bahkan lebih tajam dari mata pedang. Hal ini memang benar sebab ramai orang yang berdengki dan bermusuhan adalah disebabkan lidah. Justeru pepatah Melayu jua merakamkan, kerana lidah badan binasa.

Sudah terang lagi bersuluh, apa yang penting saat ini ialah niat..... Niat untuk berubah daripada sifat orang yang berkata keji kepada orang yang memanfaatkan lidah dengan sebaiknya. Wajib untuk dirimu dan diriku berubah kerana mission ini bukanlah dilaksanakan dengan kehendak, tetapi ia adalah satu perintah Tuhan dan tuntutan agama. Mahu tak mahu marilah kita sama-sama berjalan slow-slow ke arah Allah.Ya Allah pimpinlah kami untuk meluruskan lidah ini demi menggapai redaMu. Semoga kita tergolong dalam kalangan hambaNya yang berkata-kata baik. Amiin~.