Sunday 19 February 2012

Satu Teori Sejarah Tentang Nama Hari


Sebahagian orang percaya bahawa langit itu berlapis tujuh. Ini ada kaitannya dengan tujuh 'benda langit' yang memiliki jarak yang berbeza. Maksudnya benda yang lebih cepat masa perjalanannya dianggap lebih dekat jaraknya. Lalu akan digambarkan seolah-olah benda-benda tersebut berada pada lapisan langit yang berbeza-beza dan mereka mengelilingi bumi yang berada di tengah-tengah. Di langit pertama ada Bulan, benda langit yang bergerak cepat sehingga dianggap paling dekat. Langit yang kedua ditempati Merkuri (bintang Utarid). Venus (bintang Kejora) ditempat ketiga. Kemudian Matahari di posisi keempat. Di langit kelima adalah Mars (bintang Marikh) langit ke enam adalah Jupiter (bintang Musytari) dan yang ketujuh adalah Saturnus (bintang Ziarah). Inilah keyakinan lama yang menganggap Bumi sebagai pusat semesta.

Orang-orang dahulu (khususnya Romawi dan Yunani) percaya bahawa ketujuh-tujuh benda langit itu ialah dewa-dewa yang mempengaruhi kehidupan di Bumi. Pengaruhnya berganti dari jam ke jam, dengan urutan mulai dari yang terjauh (menurut pengetahuan mereka) iaitu Saturnus, sampai yang terdekat iaitu Bulan. Pada jam 00.00, Saturnuslah yang dianggap berpengaruh pada kehidupan manusia. Sebab itu, hari pertama disebut Saturday (hari Saturnus) dalam bahasa Inggeris, atau Sabtu dalam bahasa Melayu, Sabti dalam bahasa Arab, dan Sabbath dalam Ibrani. Ternyata, jika kita menghitung hari sampai tahun 1 Masihi, tanggal 1 Januari tahun 1, memang jatuh pada hari Sabtu.

Bila disusun selama 24 jam, jam 00.00 berikutnya jatuh pada Matahari. Jadilah hari itu sebagai hari Matahari (Sunday). Setelah Sun’s day adalah Moon’s day (Monday). Hari berikutnya adalah Tiw’s day (Tuesday). Tiw adalah nama Anglo-Saxon untuk Dewa Mars (dewa perang Romawi kuno). Berikutnya adalah Woden’s day (Wednesday). Woden adalah nama Anglo-Saxon untuk Dewa Merkuri (dewa perdagangan Romawi kuno). Berikutnya lagi Thor’s day (Thursday). Thor adalah nama Anglo-Saxon untuk Dewa Jupiter (dewa Petir, raja para dewa Romawi). Terakhir adalah Freyja’s day (Friday). Freyja adalah nama Anglo-Saxon untuk Dewi Venus (dewi kecantikan Rowawi kuno).

Jumlah hari yang ada tujuh itu, dalam bahasa Arab, nama-nama harinya disebut berdasarkan urutan: satu, dua, tiga, sampai tujuh, iaitu ahad, itsnain, tsalatsah, arba’ah, khamsah, sittah dan sab’ah. Bahasa Melayu mengikuti penamaan Arab ini, sehingga menjadi Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Hari keenam disebut secara khusus: Jumaat, sebab itulah penamaan yang diberikan Allah di dalam Al-Qur’an, yang menunjukkan adanya kewajipan solat Jumaat berjemaah.

Penamaan Minggu berasal dari bahasa Portugis, Dominggo, yang berarti hari Tuhan. Ini berdasarkan kepercayaan Kristian bahawa pada hari itu Jesus bangkit. Tetapi, orang Islam tidak mempercayai hal itu (berbeza agama maka beza pula cerita yang diceritakan agama masing-masing), sehingga lebih menyukai pemakaian “Ahad” daripada “Minggu”.