Saturday 18 February 2012

Tokoh Yang Paling Diingati Di Mata Dunia

Siapakah orang yang lebih terkenal daripada Lionel Messi dan C. Ronaldo ? Siapakah yang lebih handal daripada Genghis Khan ? Siapakah orang yang lebih berjasa daripada Benjamin Franklin ? Siapakah yang lebih hebat daripada Alexander Fleming ? Siapakah tokoh yang menggegarkan dunia, yang lebih diingati daripada Jesus Christ ?

Insan mulia tersebut ialah junjungan besar kita, nabi Muhammad saw yang maksum. Apabila berjalan di terik mentari, gumpalan awan akan melindungi baginda daripada haba yang membahang. Apabila bergaul, tiada apa yang lebih indah daripada melihat akhlak budi pekertinya yang tinggi. Apabila berkata-kata, tiada apa yang lebih baik daripada ucapan yang dilontarkan bibirnya . Lihatlah sendiri, betapa banyaknya hikmat(sunnah) yang ditinggalkannya untuk dijadikan panduan hidup? Adakah orang yang lebih banyak mutiara katanya daripada al-amin? Sudah tentu tidak!

Nabi saw seorang yang sangat suci bersih hatinya daripada perbuatan maksiat. Hati yang suci telahpun disucikan dengan air zam zam oleh dua makhluk mulia yang dicipta daripada cahaya, maka mungkinkah hati itu boleh ternoda dengan kejahatan? Pepohonan menunduk apabila beliau berjalan melewatinya, unta mencium kakinya sebagai penghormatan, para sahabat memuliakannya seperti seorang raja, walaupun realitinya baginda hidup dalam keadaan yang miskin. Lihatlah betapa mulianya darjat seorang kekasih Tuhan.

Rasulullah, manusia yang paling diingati oleh sekalian umat manusia. Apakah buktinya? Tiap2 hari umatnya berselawat kepadanya di dalam solat, memujinya selepas solat, mendoakannya sebelum tidur, mengamalkan sunnah dan mengikuti pengajarannya. Bukankah itu sudah terlebih cukup bagi membuktikan baginda lebih diingati daripada tokoh tokoh di serata dunia? Baginda, tokoh yang berjasa kepada umat manusia dalam memimpin mereka keluar daripada kesesakan jahiliyah. Pembawa agama baru, yang mengajak menyembah Tuhan yang sama dengan tuhan yang disembah Adam dan Ibrahim.
Baginda menunjukkan sifat2 mulia sehingga baginda menjadi suri tauladan yang utama di mata dunia. Maka benarlah kata-kata Allah:

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.(QS. Al Ahzab 21)

Kebenaran ini tidak akan dapat disembunyikan, melainkan iktiqad hati yang tidak mahu mempercayai realiti. Bagindalah yang telah berjaya menyebarkan ajaran indah, ajaran yang tidak pernah mengecewakan insan yang menganutinya, di serata bumi di Timur Tengah dan Afrika Utara, sehingga amat dikenali sehingga kini. Tahukah anda bahawa Muhammad saw memegang ranking yang nombor 1 dalam senarai tokoh yang berpengaruh dalam sejarah? Catatan ini termaktub dalam sebuah buku karangan Michael H. Hart, "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History" . Jelaslah bahawa baginda seorang yang paling dirindui dalam sejarah.