Saturday 5 May 2012

Alim (ahli ilmu) Dan Abid (ahli ibadah)

Al-Umari, seorang ahli ibadah, menulis surat kepada Imam Malik rahimahullah yang di dalamnya menceritakan tentang dirinya yang menyendiri dan bekerja, serta tidak mahu mengikuti beliau untuk menuntut ilmu. Menanggapi surat ini Imam Malik membalasnya dengan mengatakan: ‘Sesungguhnya Allah mengatur amalan-amalan sebagaimana rezeki. Kadang-kadang, ada yang dibukakan baginya dalam solat dan dalam puasa. Ada yang dalam sedekah dan tidak dibukakan dalam puasa. Dan ada pula yang dalam jihad dan bukan dalam solat. Adapun mempelajari ilmu dan menyebarkannya merupakan sebaik-baik amalan kebaikan. Dan aku reda dengan apa yang telah dibukakan Allah bagiku. Aku berharap agar kita berada di atas kebaikan. Dan wajib bagi kita untuk reda dengan apa yang diberikan kepadanya. Wassalam.”


Keutamaan seorang yang alim dapat dilihat pula daripada dalil-dalil berikut :


“Katakanlah: apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar: 9)


“Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada para hambaNya adalah para ulama.” (Fathir: 28)


            Dan masih banyak lagi ayat-ayat dalam Al-Qur`an yang senada yang tidak perlu saya zahirkan semuanya di dalam thread ini.


Di samping dalil-dalil dari Al-Qur’an terdapat pula dalil-dalil dari Al-Hadits seperti berikut :

“Dari Abu Umamah (r), ia berkata: Disebutkan kepada Rasulullah saw tentang dua orang: seorang ahli ibadah dan seorang alim. Lantas beliau bersabda: ‘Keutamaan seorang yang alim dengan seorang yang ahli ibadah adalah seperti keutamaanku (Rasulullah) dengan yang paling rendah di antara kalian (para shahabat).’ Kemudian beliau bersabda: ‘Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya dan penghuni langit dan bumi sampai semut dalam sarangnya serta ikan pun ikut mendoakan para pengajar kebaikan kepada manusia.” (HR. Tirmidzi, Darimi, dan disahihkan oleh Albani dalam Al-Misykah )


“Keutamaan orang alim dari seorang yang ‘abid adalah seperti keutamaan bulan pada malam bulan purnama dari seluruh bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya (mewarisinya) maka bererti ia telah mengambil dengan bahagian yang besar.” (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah, Abu Dawud, dan dihasankan oleh Al-Albani dalam Al-Misykah )


“Dari Sahl bin Sa’ad (r) bahwa beliau nabi saw berkata kepada Ali (r): Sungguh jika Allah memberi hidayah kepada seseorang melaluimu maka itu lebih baik bagimu daripada kamu memiliki unta-unta merah.” (HR. Bukhari, Muslim , Ahmad )


Hasan Al-Bashri berkata: “Kalaulah bukan kerana para ulama tentu manusia menjadi seperti haiwan.”

Muadz bin Jabal (r) berkata: “Pelajarilah ilmu, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah khashyah (rasa takut), menuntutnya adalah ibadah, mempelajarinya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah, menyerahkannya kepada ahlinya adalah sebagai taqarrub. Dia (ilmu) teman dekat dalam kesendirian dan sahabat dalam kesunyian.”

           Dengan demikian, wajiblah bagi orang yang berasa sakit dengan perbuatan maksiatnya untuk menanyakan ubatnya kepada para ulama, sebagaimana firman Allah:

“Maka bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu jika kalian tidak mengetahuinya.” (al-Anbiya’: 7)