Monday 12 March 2012

Golongan Yang Sedikit

Sudahkah kita bersyukur pada hari ini atas nikmat yang telah dikurniakan oleh yang Maha Kurnia?


Saat mencelikkan mata dari tidurmu, adakah seuntai kata pujian untuk diucapkan kepada Tuhan yang menggenggam setiap nyawa? Apabila kau menghirup nafas pertama di hari yang baru, adakah kau bersyukur dengan nikmat itu? Tuhan memberimu kesempatan untuk bertaubat. Tahukah kamu hidup ini hanya antara dua nafas? Baik sedutan ataupun hembusan, kita boleh saja mati antara dua reaksi fizikal itu.


Wahai Tuhan, di sini jiwaku menyedari, nikmat daripadaMu tidak mungkin dapat dihitung.


Apakah sesuatu yang datangnya bukan dari Allah? Adakah benda yang kamu dapati itu, bukan kurniaan Tuhan? Semua yang kita miliki dari permulaan hingga kini, semuanya pemberian daripada Tuhan. Wahai diri, kau patut mensyukuri nikmat ini.

-------------------------------------------------------------------
Akan tetapi, amat sedikit antara hambaMu yang berterima kasih. Pada suatu masa dahulu, hidup seorang hamba Allah. Suatu hari dia bermimpi dibawa oleh dua malaikat ke langit. Tiba di suatu tempat, terlihatlah olehnya ramai malaikat sedang bekerja dan semua malaikat di situ kelihatan sibuk.


Lalu dia bertanya kepada malaikat yang membawanya ke situ, "Tempat apakah ini?". Malaikat itu menjawab,"Ini adalah tempat pengumpulan doa-doa hamba Allah". Kemudian dia dibawa pula ke tempat kedua. Di situ situasinya sama seperti di tempat pertama. Semua malaikat kelihatan sibuk.


Dia pun bertanya lagi, "Tempat apa pula ini?". Jawab malaikat, "Ini adalah tempat pengumpulan doa-doa hamba Allah yang dimakbulkan". Seterusnya dia dibawa ke tempat ketiga. Di situ hanya kelihatan satu malaiakt sahaja sedang bertugas dan malaikat itu bagaikan seperti bekerja dalam keadaan yang sangat relaks.


Lalu dia bertanya, "Ini tempat apa, tempat ini tidak sesibuk tempat yang pertama dan kedua tadi". Malaikat itu berkata, "Ini adalah tempat pengumpulan kesyukuran-kesyukuran hamba Allah".
Subhanallah.. adakah kita termasuk dalam kalangan hambaNya yang bersyukur?


" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".